Celcom Jadi Pemangkin Program eUsahawan MDEC

Celcom Axiata Berhad (Celcom) hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama Multimedia Development Corporation Sdn. Bhd. (MDeC), sebagai rakan digital untuk program eUsahawan MDeC. Program eUsahawan ini dijalankan menerusi Institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan.

Upacara menandatangani MoU ini disempurnakan oleh CEO Celcom, Dato’ Sri Shazalli Ramly, bersama CEO MDeC, Dato’ Yasmin Mahmood. Dato’ Sri Shazalli sangat teruja dengan tugasan baru Celcom dalam membantu eUsahawan. Dato’ Yasmin pula menambah, MDeC yakin kerjasama ini akan membantu pelajar TVET dan usahawan mikro untuk turut serta dalam gelombang keusahawanan digital dalam negara.

Dengan MoU ini, Celcom akan meluaskan liputan 4G LTE ke kampus TVET, untuk memberi pengalaman penggunaan internet lebih meluas, di samping membantu proses pembelajaran.

Di peringkat awal, sebanyak 34 institusi politeknik di seluruh Malaysia akan dinaiktaraf ke rangkaian 4G LTE. Langkah ini bukan sahaja memanfaatkan pelajar, tetapi turut akan dirasai penduduk di sekitar institusi.

Program e-Usahawan dapat mengubah nasib usahawan muda - PM

Antara kandungan dalam MoU ini adalah pemberian kad SIM khas untuk pelajar eUsahawan, pakej telefon pintar dan tablet, serta penggunaan Escape, sebuah platform dalam talian sebagai bahan bantu pembelajaran. Pelajar juga boleh mempergunakan pasaran dalam talian Celcom, iaitu 11street sebagai sebahagian projek mereka.

eUsahawan adalah satu inisiatif MDeC yang mula dijalankan pada Julai 2015. Ia dibentuk untuk memberi pengetahuan keusahawanan digital kepada orang ramai melalui institusi TVET. Matlamat jangka panjangnya adalah untuk meningkatkan jumlah usahawan mikro yang berdaya saing, menggunakan platform digital bagi mengembangkan perniagaan.

Sebanyak 3,000 pelajar menyertai peringkat awal kurikulum bersepadu yang direka MDeC bersama Insitusi yang turut serta. 77% pelajar telah berjaya menjana jualan di platform dalam talian, dan memungut jualan sebanyak RM1.3 juta dalam masa 6 bulan.