Kategori B40 Bakal Menjana RM70 Juta pada Hujung Tahun ini

PETALING JAYA: Lebih kurang 100,000 peserta di bawah kategori B40 dijangkakan akan menjana pendapatan terkumpul sebanyak RM70 juta pada hujung tahun ini.

Kategori B40 merujuk kepada mereka yang mempunyai pendapatan sebanyak RM3,855 dan ke bawah.

Timbalan pengarah (Bahagian Hubungan Korporat) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Razaleigh Zainal mengatakan bahawa kempen atas talian #YOUCANDUIT adalah salah satu langkah yang diambil untuk meraih pendapatan.

“Program tersebut menyasarkan golongan berpendapatan rendah bagi membantu mereka menjana pendapatan melalui platform digital,” ujar beliau ketika pelancaran sambutan Hari Belia Selangor semalam.

Antara golongan yang disasarkan untuk menyertai kempen #YOUCANDUIT melalui program eRezeki dan eUsahawan adalah golongan suri rumah, belia dan para pelajar.

Sekurang-kurangnya 51,000 peserta telah mengambil bahagian dalam projek mikro-kredit pada tahun lepas.

Kira-kira 30% daripada mereka telah berjaya menjana pendapatan terkumpul sebanyak RM48 juta.

Program e-Rezeki menunjukkan 23,000 peserta berjaya menjana pendapatan terkumpul berjumlah sehingga RM16.4 juta.

Selebriti Datuk Rosyam Nor memberitahu para belia bahawa pendekatan perniagaan terkini sudah berubah melalui penggunaan platform digital.

“Dengan platform digital, kamu boleh memulakan perniagaan dan berjaya di mana-mana,” kata beliau.