MDEC Perluas Kerjasama Mantapkan eUsahawan

MDEC Perluas Kerjasama Mantapkan eUsahawan

KUALA LUMPUR 28 Jun – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mahu memperbanyakkan kerjasama dengan platform e-dagang terkemuka bagi memantapkan prestasi para peserta e-Usahawan yang kini telah mencecah 51,000 orang. Naib Presiden Bakat dan Keusahawanan Digital MDEC, Sumitra Nair berkata, kerjasama dengan AVANA, 11street, Shopee dan Lelong.my menyediakan platform dagangan atas talian untuk membantu usahawan mikro menjangkau pasaran lebih luas.

Katanya, kini, teknologi digital telah mengubah cara kita bekerja dan menjalani kehidupan seharian, walau bagaimanapun, bukan semua rakyat Malaysia berpeluang atau mempunyai pengetahuan untuk memanfaatkannya, terutama golongan yang kurang pendedahan terhadap teknologi maklumat. Beliau berkata, kumpulan sasaran program e-Usahawan terdiri daripada pelajar-pelajar kolej vokasional dan usahawan mikro (rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas).

Tambah beliau, MDEC menyediakan modul teras keusahawanan digital untuk diterapkan ke dalam kurikulum rasmi institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan kursus e-Usahawan pendek untuk usahawan mikro.

“Pada 2016, program e-Usahawan berjaya melatih seramai 51,000 peserta dan merekodkan jumlah jualan yang memberangsangkan sebanyak RM48 juta. “MDEC pada tahun ini me­nyasarkan seramai 80,000 yang akan dilatih dengan sasaran jualan sebanyak RM60 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

MDEC telah memperkenal dan mewujudkan peluang pendapatan digital menerusi inisiatif e-Rezeki dan e-Usahawan yang terbahagi kepada dua iaitu e-Usahawan Muda serta e-Usahawan Desa di bawah kempen #YOUCANDUIT. Program e-Usahawan bertujuan menggalakkan dan mendidik pelajar institusi pengajian tinggi dan usahawan mikro tentang keusahawanan digital untuk mewujudkan perniagaan dalam talian yang boleh memberi pendapatan tambahan.

Jelas Sumitra lagi, selepas tamat latihan e-Usahawan, para peserta akan dipantau untuk tempoh masa tertentu. “Peserta yang sering menunjukkan kemajuan berterusan akan ditawarkan program latihan lanjutan,” katanya.

Mereka yang berminat boleh layari www.mdec.my/eusahawan untuk mengetahui lebih lanjut dan mendaftar bagi program e-Usahawan. Pemohon yang berjaya akan dihubungi dengan butiran latihan berdekatan lokasi mereka. Latihan yang disediakan adalah percuma pada tahun ini.

(www.utusan.com.my)