MDEC Sasar 80,000 Peserta eUsahawan

MDEC Sasar 80,000 Peserta eUsahawan

KUALA LUMPUR 14 Julai – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan jumlah e-Usahawan berkembang kepada 80,000 peserta pada akhir 2017 berbanding 51,000 orang ketika ini.

Program e-Usahawan direka selaras dengan pengetahuan keusahawanan digital untuk menggalakkan dan mendidik pelajar institusi tertiari dan usahawan mikro tentang keusahawanan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood berkata, zaman ekonomi digital kini menawarkan pelbagai peluang untuk mendapatkan wang menerusi dalam talian dan pihak kami berusaha keras untuk membuka laluan ke arah itu.

Katanya, program e-Usahawan menyediakan cara-cara untuk mewujudkan perniagaan atas talian yang boleh memberi pendapatan tambahan meliputi segmen e-Usahawan Muda dan e-Usahawan Desa.

“Selain itu, MDEC turut memperkenalkan aplikasi pembayaran mudah alih, MPay Wallet bagi menggalakkan para e-Usahawan memanfaatkan teknologi terkini. “Penggunaan MPay Wallet akan menyediakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai platform Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ),” katanya kepada pemberita sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MDEC di sini hari ini.

Majlis rumah terbuka itu diha­diri lebih 2,000 tetamu. Dalam masa sama, MDEC turut meraikan kanak-kanak daripada tiga buah rumah kebajikan.

Bersempena rumah terbuka berkenaan, kira-kira 10 e-Usahawan menjual produk mereka dan para pembeli hanya dibenarkan membuat pembayaran menerusi MPay Wallet.

Objektif jangka panjang program e-Usahawan adalah untuk meningkatkan bilangan usahawan mikro yang mampu memanfaatkan kuasa platform digital untuk mengembangkan perniagaan mereka.

(www.utusan.com.my)