Program e-Usahawan dapat mengubah nasib usahawan muda - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap agar program transformasi digital, e-Usahawan, dapat mengubah nasib usahawan muda selain dapat meningkatkan pendapatan.

Najib berkata, dalam program sulung Daya e-Usahawan 2015 merupakan satu inisiatif strategik dalam memartabatkan keusahawanan digital di negara ini.

Najib turut memuji usaha penerapan ilmu keusahawan digital ke dalam kurikulum Institusi-Institusi Pendidikan Latihan Dan Vokasional (TVET) yang dilihat telah dapat memberi pendedahan dan pembelajaran khususnya generasi muda untuk menerokai peluang sebagai usahawan teknologi.

Selain itu, Najib berkata, industri peniagaan internet yang juga dianggap sebagai industri masa hadapan, dijangka bakal berkembang kepada RM72 bilion tahun ini dan RM88 bilion tahun hadapan.

Program e-Usahawan dapat mengubah nasib usahawan muda - PM

"Selama ini kalau kita belajar di institusi pendidikan kita nak cari pekerjaan sama ada dengan kerajaan atau sektor swasta."

"Tetapi melalui e-Usahawan ini, kita akan membangunkan golongan usahawan muda yang boleh mencari rezeki sendiri dan menambah pendapatan," kata Najib ketika merasmikan program e-Usahawan anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu.

Turut hadir Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh Dan Ketua Pegawai Eksekutif MDec Datuk Yasmin Mahmood.

Program e-Usahawan dapat mengubah nasib usahawan muda - PM

Perlancaran Daya e-Usahawan 2015 yang berlangsung dari 25 dan 26 November ini di PWTC akan membawa peserta program mendalami dunia perniagaan digital melalui perkongsian dan pengisian dengan e-pakar, sesi bersama mentor dan makmal pembelajaran tentang kemahiran digital.