MyBazar terajui program Blee

MyBazar Malaysia telah dilantik oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai platform online pertama untuk menerajui program Blee.

KUALA LUMPUR – MyBazar Malaysia telah dilantik oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai platform online pertama untuk menerajui program Blee.

MyBazar yang mula beroperasi sejak Jun 2017 merupakan ruang pasaran sosial yang memindahkan pengalaman membeli-belah kepada e-dagang tanpa mengira kekangan saiz, lokasi, belanjawan dan teknologi peniaga.

Ketua Pegawai Eksekutif MyBazar, Fazil Irwan Som berkata, program itu dihasilkan dengan fokus untuk mencungkil peluang pertumbuhan ekonomi digital dalam kalangan peniaga tempatan.

“Kami berbesar hati untuk menjadi platform pertama mempromosikan produk tempatan eks­klusif ini dan menjadi sebahagian daripada agenda nasional untuk membantu usahawan.

“Bersama-sama MDEC di bawah program eUsahawan, MyBazar ber­usaha untuk memperkasa perniagaan tempatan agar berkembang dengan lebih hebat dan teguh,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Blee, singkatan daripada perkataan ‘Barangan Luar Biasa Eksklusif eUsahawan’, mempunyai sasaran untuk meluaskan jangkauan dan merangsang penggunaan e-dagang seluruh negara dalam kala­ngan peniaga mikro dan usahawan tempatan.

Menerusi program itu, usahawan tempatan yang ingin memulakan perniagaan online akan didaf­tarkan di bawah program latihan digital eUsahawan MDEC.

Bagi menggalakkan pe­nerimaan e-dagang, penjual Blee yang berdaftar akan memperoleh khidmat penghantaran percuma, pengecualian penuh yuran pengendalian dan kutipan komisen sehingga perniagaan mereka mencapai tahap keuntungan tertentu.

Program Blee dimulakan bersama 500 peniaga tempatan terpilih yang menjual lebih 2,000 jenis produk daripada kategori makanan, fesyen, hiasan rumah sehinggalah hasil kraf tangan.

MDEC menyasarkan 1,500 peniaga turut serta dalam program Blee menjelang akhir tahun 2018.